Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF dan SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Peluang bagi penunggang motosikal mencari pendapatan tambahan, Malakat Delivery mempelawa orang ramai menyertai pasukan itu dengan memperoleh RM10 bagi satu perjalanan menghantar barangan Raudhah Grocer kepada pengguna.

Pengasas Malakat Delivery, Hallaj Abas Lufti Abas berkata, jumlah itu amat berbaloi berbanding pesaing lain.

Menurutnya, tugas mereka adalah menghantar barangan dari Raudhah Grocer yang dibeli oleh pelanggan menerusi dalam talian di sekitar Lembah Klang.

“Mereka akan menghantar tempahan oleh pelanggan yang membeli dalam talian Raudhah Grocer dan memperoleh RM10 bagi setiap perjalanan.

“Syarat menyertainya adalah memiliki lesen memandu dan insurans yang masih sah,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Tambah Hallaj, pihaknya mengalu-alukan mereka yang ingin menyertai pasukan itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan soal keselamatan penunggang motosikal yang menyertai Malakat Delivery tetap diutamakan.

“Sebelum menghantar barangan, mereka akan memakai topeng penutup mulut selain tangan dicuci menggunakan cecair pencuci tangan.

“Langkah itu bagi memastikan pelanggan tidak ragu-ragu menerima barangan yang diterima oleh penghantar barangan kami,” ujarnya.

Mereka yang ingin menyertai pasukan itu boleh menghubungi melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-8271293.

Dalam pada itu, Pengasas Malakat Mall, Mohd.Fadzil Hashim berkata,  pembelian barangan secara dalam talian menerusi laman web Raudhah Grocer akan menggunakan khidmat penghantaran Malakat Delivery.

Kata beliau, Malakat Delivery menawarkan servis penghantaran ke seluruh Lembah Klang dengan kadar sama rata iaitu RM15 sahaja.

“Perkhidmatan ini berfungsi 24 jam dan meliputi seluruh Lembah Klang. Pelanggan tidak perlu keluar rumah, dan tiada had minimum belian,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here