Pematuhan capai 95 peratus, trend pulang ke bandar pula meningkat

0
208


PUTRAJAYA – Ketika trend pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini meningkat kepada 95 peratus, orang ramai yang pulang ke kampung sebelum ini mula menunjukkan trend untuk kembali ke bandar.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil kerjasama bersepadu yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pihak berkuasa tempatan, kesesakan di bandar ketika ini berkurangan dan jalan semakin lengang.

“Trend kesesakan di bandar semakin kurang, cuma trend masyarakat kita yang pulang ke kampung telah pula menunjukkan ingin pulang ke bandar.

“Saya harap ini tidak berlaku, kerana pihak polis tidak akan membenarkan. Terus tinggal di kampung halaman masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Kanan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi membendung perkara itu, polis telah mengadakan sekatan jalan raya di 23 plaza tol di seluruh negara dengan 1,029 sekatan jalan raya, 163, 687 jumlah kenderaan diperiksa dan 2,481 pemeriksaaan mengejut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob


Beliau berkata, tindakan undang-undang mungkin akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan dan nasihat polis.

“Pihak polis mungkin akan mengubah cara mereka bukan setakat nasihat tetapi tindakan undang-undang juga akan diambil kepada mereka yang menghalang penjawat awam dan juga masih berdegil dan gagal mematuhi arahan atau nasihat yang dikeluarkan pihak polis,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 695 laporan polis dibuat, kertas siasatan terhadap 46 kes telah dibuka dan 28 orang telah ditangkap berhubung perkara itu. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here