Pembukaan Malakat Mall, sembilan hari lagi

0
296

CYBERJAYA – Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk rakyat negara ini khususnya umat Islam menyaksikan penyatuan dan kebangkitan ekonomi melalui pembukaan pusat beli belah Malakat Mall di Persiaran Multimedia, Cyber 12, Cyberjaya di sini.

Pusat beli belah yang akan dibuka pada 13 Mac ini akan menjadi yang pertama di negara ini dengan konsep pusat perniagaan Islam.

Diasaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil, pusat beli belah ini bakal menempatkan premis-premis perniagaan yang dimiliki oleh usahawan Islam sepenuhnya.

Antara jenama utama yang bakal memulakan operasi adalah Raudhah Grocer iaitu cawangan pertama rangkaian hypermart yang menghimpunkan ratusan produk keluaran Muslim dan produk-produk popular di pasaran.

Raudhah Grocer yang terletak di aras pertama (G) kini dalam proses akhir dan dianggarkan sudah 90 peratus siap.

Raudhah Grocer yang kini masuk fasa akhir persiapannya di Malakat Mall.

Pengurus Malakat Mall, Farah Hazwani Amir Hashim berkata, Raudhah Grocer adalah antara premis perniagaan utama dan terbesar di Malakat Mall yang akan memasarkan produk-produk muslim dari seluruh negara secara berpusat untuk pasaran Lembah Klang.

“Alhamdulillah kita mendapat sambutan dan maklum balas yang cukup hebat daripada pengeluar dan pengusaha produk Muslim dari seluruh negara. Kebanyakan daripadanya tidak pernah kita ketahui sebelum ini.

“Kami harap kewujudan Malakat Mall ini akan menjadi platform yang lebih berkesan untuk para peniaga memperkenal dan memperluasakan potensi perniagaan mereka termasuk meneroka pasaran luar negara tidak lama lagi,’’ katanya.

Farah berkata, Raudhah Grocer akan menjadi antara premis perintis yang akan memulakan operasi di Malakat Mall selain 19 lagi jenama antaranya Casa de Madani, Bunch-oh, Iqra Read Bookstore, Jojo Shoes, Petak, Conteng, Eebu, C&E, 2358 Fashion, Himawari, Togomen Homme dan DIY Malaya.

Malakat Mall yang terletak bersebelahan dengan pusat membeli belah D’Pulze antara lain menempatkan rentasan zipline yang menawarkan cabaran ekstrem dari ketinggian bangunan tiga tingkat itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here