Pemilihan anggota Kabinet bersih tapisan SPRM, PDRM

0
249

CYBERJAYA – Senarai anggota Kabinet dibawah Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah mereka yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu dinyatakan oleh Muhyiddin kepada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin dalam pertemuan di kediaman Perdana Menteri itu, semalam.

Menurut Mohd. Asri, setiap anggota Kabinet yang bakal dilantik nanti tidak membuat dakwaan palsu tentang sijil yang dimiliki.

“Setiap orang hendaklah menyatakan sijil pendidikan sebenar yang mereka peroleh,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook milik beliau hari ini.

Tambah Mohd. Asri, Perdana Menteri turut bersetuju jika pemilihan anggota Kabinet terdiri dalam kalangan mereka yang bersih daripada korupsi serta berkualiti.

“Saya memberitahu beliau, saya percaya jika anggota Kabinet terdiri dalam kalangan mereka yang bersih dari korupsi dan berkualiti, Insya-Allah adalah hujah yang kuat untuk beliau. Bertawakkallah kepada Allah dan sentiasa memohon pertolongan daripadaNYA,’ katanya.

Mohd. Asri berkata, rakyat inginkan kerajaan yang dianggotai jemaah menteri yang jujur, cekap, tidak memusuhi perkara-perkara asas dalam negara terutama Islam serta tidak membuat kenyataan yang memperbodohkan rakyat.

“Rakyat memerlukan kehidupan yang aman, ekonomi yang baik dan persekitaran selesa untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.

“Saya bersama rakyat yang lain menanti berita baik esok hari. Saya menyokong kerajaan yang baik demi kepentingan agama dan negara,” katanya.

Beliau juga akan mengkritik kerajaan baharu ini jika hal sebaliknya berlaku. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here