Pencuci tangan Bidara Ruqyah al-Amin al-Baghdadi tidak dapat kelulusan KKM

0
279
Pencuci tangan Bidara Ruqyah al-Amin al-Baghdadi tidak dapat kelulusan KKM

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli dan menggunakan produk pencuci tangan Bidara Ruqyah al-Amin al-Baghdadi yang tidak mendapat kelulusan pihaknya.

Menurut KKM dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya , semua produk pencuci tangan perlu dirujuk dengan KKM sebelum dipasarkan di Malaysia untuk memastikan ia berkualiti dan selamat digunakan.

“Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, iklan produk dengan tuntutan perubatan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat merupakan satu perlanggaran di bawah Seksyen 4B, Akta Ubat (Iklan & Penjualan 1956).

Tangkap layar daripada laman Facebook KKM

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dan berhati-hati semasa membeli produk pencuci tangan di pasaran.

“Semakan status produk boleh dibuat dalam laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di pautan www.npra.gov.my,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here