
CYBERJAYA – Kumpulan AmBank hari ini mengesahkan bahawa Pengarah Bukan Eksekutif di salah satu subsidiarinya telah disahkan positif Covid-19.
Kumpulan AmBank dalam kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati Pengarah terbabit tidak ada kontak langsung dengan mana-mana kakitangan atau melawati mana-mana premis Kumpulan AmBank dalam tempoh 10 hari.
“Kementerian Kesihatan sedang mengambil langkah menjejaki kontak langsung Pengarah Bukan Eksekutif berkenaan.
“Mana-mana kakitangan yang berhubung dengan Pengarah Bukan Eksekutif itu dalam tempoh 14 hari terakhir telah dikuarantin dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Selain itu katanya, antara langkah berjaga-jaga yang diambil oleh Kumpulan AmBank termasuk mengawal kemasukan pelawat ke premisnya.
“Antara langkah yang diambil ialah pemeriksaan suhu di lokasi berisiko tinggi, penyediaan topeng muka dan sanitari tangan, meningkatkan intensiti pembersihan serta melaksanakan arahan perjalanan dan nasihat kepada semua kakitangan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, perniagaan dan operasi Kumpulan AmBank akan berjalan seperti biasa.
“Kumpulan AmBank akan terus bertanggungjawab dan telus dalam melindungi keselamatan dan kesihatan semua pihak berkepentingan, khususnya kakitangan dan pelanggan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kumpulan AmBank turut memaklumkan bahawa Pengarah Bukan Eksekutif itu kini sedang menerima rawatan di hospital kerajaan.-MT