Pengecualian sewa PPR selama enam bulan-Muhyiddin

0
113

CYBERJAYA- Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi PPR daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bagi unit sewa untuk milik pula katanya, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan bermula bulan April hingga September ini.

“Penangguhan pembayaran ini melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah. Manakala bagi Perumahan Awam pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberi pengecualian yang sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa.

“Saya menyeru kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain supaya memberikan pengecualian yang sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing,”katanya dalam Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi hari ini.

Menurut Muhyiddin, kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain.

“Ini termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan. Saya juga menggesa agar kerajaan negeri, PBT dan GLC memberikan pengecualian yang sama,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here