
KUALA LUMPUR – Berita penularan gelombang kedua Covid-19 di negara ini baru-baru ini dikaitkan dengan pelbagai teori dan salah satu daripadanya dikatakan berpunca daripada pengesahan psoitif Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Hisham Hamdan.
Hisham hari ini tampil menafikan dirinya sebagai sumber utama yang menyebabkkan penularan wabak itu di negara ini melalui satu kenyataan.
Hisham yang dikatakan terkena jangkitan selepas menghadiri persidangan di Shanghai pada 13 hingga 17 Januari lalu menolak teori itu kerana hanya mempunyai gejala jangkitan selepas enam minggu pulang ke tanah air.
“Ada dua isu mengenai kunjungan saya ke Shanghai. Sepanjang menghadiri persidangan di sana, kes jangkitan Covid-19 yang hanya disahkan berlaku oleh China adalah di bandar Wuhan yang tidak pernah saya kunjungi.
“Tiada kemungkinan saya mendapat jangkitan itu di sana kerana kes pertama yang dicatatkan di Shanghai adalah pada 20 Januari, sedangkan saya saya berada di sana untuk menghadiri persidangan dari 13 hingga 17 Januari,” katanya.
Menurut Hisham, hanya seminggu selepas beliau kembali ke Malaysia iaitu pada 25 Januari, Kementerian Kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan atau membatalkan perjalanan ke China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan darurat kesihatan awam angkara Covid-19 yang mengundang kebimbangan antarabangsa, pada 30 Januari.
“Semua rangkaian peristiwa ini berlaku selepas saya kembali dari Shanghai. Tidak dinafikan gelombang kedua Covid-19 dikaitkan dengan saya, tetapi ‘dikaitkan dan berasal daripada saya’ adalah dua perkara berbeza,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah,
menamakan Hisham sebagai kes ke-26 yang kemudian dikaitkan dengan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan.
Hisham berkata, mengambil kira bukti penyelidikan perubatan yang mengesahkan tempoh pengeraman virus terbabit adalah 14 hari, Hisham menolak kemungkinan dijangkiti Covid-19 ketika berkunjung ke Shanghai.
“Saya hanya individu pertama yang disahkan positif bagi Covid-19 menerusi siri pertemuan awam ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada barisan petugas perubatan kerana tampil memberikan perkhidmatan rawatan terbaik sepanjang ditempatkan di wad pengasingan. – MT