Pengorbanan barisan hadapan dapat perhatian YUN

0
118

CYBERJAYA –  Prihatin dengan situasi semasa, Yayasan Usahawan Negara (YUN) dengan kerjasama restoran berputar Atmosphere 360 Menara Kuala Lumpur menyumbangkan pek makan tengah hari kepada anggota yang bertugas bermula hari ini hingga 31 Mac depan.

Menurut Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YUN, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, pihaknya memperuntukkan sebanyak 500 pek makanan setiap hari sehingga hujung bulan ini  kepada anggota polis yang bertugas di 61 lokasi sekatan jalan raya sekitar Lembah Klang.

“Pihak YUN dengan kerjasama Atmospehere 360 memulakan misi mengagihkan makanan tengah hari kepada semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas sejak dua hari lepas. Penyerahan ini akan dibuat melalui enam Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pihak berwajib seperti warga PDRM antara barisan hadapan yang bertungkus lumus tanpa mengira waktu menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada negara.

“Kami terpanggil untuk meringankan sedikit tugas mereka  dengan menyalurkan sumbangan makanan sehingga 31 Mac sebagai tanda sokongan dan menyuntik semangat kepada anggota pihak berkuasa.

“Jumlah pek makanan akan ditambah sekiranya terdapat permintaan tinggi dan mengikut keperluan semasa,” katanya ketika menyerahkan sumbangan di IPD Dang Wang, hari ini.

Sementara itu, Megat yang juga Pengarah Urusan Atmosphere 360 turut berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengalu-alukan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak syarikat swasta.

“Saya mewakili pihak NGO dan mana-mana penyumbang mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri kerana memberi izin untuk bersama dalam keadaan yang sukar ini. 

“Selain itu, saya ingin berterima kasih kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang turut memberi kerjasama dalam menjayakan misi ini,” ujarnya.

Beliau berharap, program yang sama akan diteruskan pada masa akan datang dan pihak korporat lain dialu-alukan untuk bersama mereka menghulur sumbangan. 

“Kami di YUN akan berusaha menjadi pemudahcara kepada mereka dengan menyalurkan apa juga bentuk bantuan dan sumbangan kepada petugas wira dan wirawati negara,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here