Peniaga tidak hirau Perintah Kawalan Pergerakan

0
223

KUALA LANGAT – Tanpa menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuatkuasa hari ini, kira-kira 30 peniaga di Pasar Pagi Teluk Bunut, Banting dan Jenjarom di sini terus berdegil dengan menjalankan perniagaan seperti biasa.

Memetik laporan Berita Harian, sejak pagi tadi, satu video penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengarahkan peniaga di kawasan itu menghentikan aktiviti jual beli menggunakan pembesar suara tular dalam media sosial.

Yang Dipertua MPKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, kira-kira pukul 8 pagi tadi, sepasukan penguat kuasa MPKL mendapati aktiviti jual beli berjalan seperti biasa di kawasan berkenaan.

“Selepas penguat kuasa memberikan arahan secara lisan, peniaga mengambil masa setengah jam untuk mengemas dan menutup perniagaan masing-masing.

“Sekiranya masih meneruskan perniagaan esok dan seterusnya, notis ingkar arahan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran dan kertas siasatan akan dibuka untuk pendakwaan mengikut Seksyen 24 (a) Akta 342.

“Tapi ini lebih kepada kuasa polis dan sebab itu atas perintah Akta Polis 1967 diguna pakai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Zain berkata, sebelum diarahkan tutup pasar pagi itu sempat beroperasi selama satu jam.

“Perkara ini berlaku disebabkan oleh kedegilan peniaga yang tidak mematuhi arahan dan bukan kerana kegagalan penguatkuasaan.

“MPKL dan semua agensi yang terbabit sentiasa memantau keadaan ini dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, pasar pagi ini dibuka setiap hari bermula kira-kira pukul 6 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Selain itu, di sekitar Kuala Langat ada Pasar Awam Banting, Jenjarom dan Tanjung Sepat yang dibuka untuk orang awam membeli barang keperluan harian termasuk beberapa pasar raya besar.

“Tetapi langkah pencegahan sudah diuar-uarkan dan wajib dipatuhi oleh semua pihak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here