Perbaharui lesen memandu dalam talian

0
501

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Orang ramai yang mahu memperbaharui lesen memandu (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM) boleh dilakukan secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan itu boleh dibuat menerusi portal MySikap JPJ atau perkhidmatan portal MyEG bagi perbaharui LKM.

Beliau berkata, orang awam yang tidak memiliki portal ID bagi mengakses portal MySikap JPJ, boleh melakukan proses pembaharuan menerusi portal MyEG.

Menurut beliau, orang ramai yang telah memperbaharui CDL atau LKM menerusi kedua-dua portal tersebut sepanjang tempoh PKP ini tidak perlu hadir ke kaunter mendapatkan lesen memandu mahupun pelekat LKM secara fizikal, sebaliknya pembayaran fi lesen menerusi portal sudah memadai untuk digunakan sebagai bukti.

“Orang ramai diminta tidak tergesa-gesa mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM yang telah diperbaharui.

“Kebenaran ini hanyalah untuk kegunaan di sepanjang tempoh PKP sahaja dan mereka dikehendaki mendapatkan pelekat LKM dan kad CDL sebaik sahaja perintah PKP ditarik semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menyedari kebimbangan orang ramai, beliau berkata, kementerian turut mengadakan konsultasi dan perbincangan bersama Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Takaful baru-baru ini bagi mempermudahkan urusan orang ramai sepanjang tempoh PKP itu.

Menurut beliau, seperti ketetapan undang-undang, semua pemilik kenderaan hendaklah memastikan kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans sah sepanjang tempoh arahan itu dilaksanakan.

Jelas beliau, pembaharuan perlindungan insurans untuk kenderaan motor boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi portal-portal syarikat insurans berkaitan.

Beliau berkata, sebarang aduan atau pertanyaan boleh e-mel ke [email protected] atau WhatsApp ke 019-2907723. 

“Selain itu mereka juga boleh menghubungi talian Hotline MOT iaitu 1800-88-7723 atau Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, di talian 03-88882010,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here