Pergerakan keluar negeri, daerah dilarang

0
452
Sepanjang tempoh PKP semua kenderaan tidak dibenarkan memasuki negeri dan daerah lain

CYBERJAYA – Pergerakan orang ramai dari satu negeri ke satu negeri atau dari satu daerah ke daerah lain adalah tidak dibenarkan sama sekali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaubagaimanapun kebenaran diberikan kepada orang ramai yang mempunyai urusan penting atau keperluan mendesak.

“Dari segi peraturan pergerakan dari satu negeri ke satu negeri dan dalam daerah dan bandar masih diteruskan. Tiada siapa boleh bergerak dari satu negeri ke satu negeri dan satu daerah lain.

“Walaubagaimanapun, pihak polis memaklumkan kebenaran boleh diberikan jika diperlukan contohnya jika ada kematian dalam kalangan ahli keluarga, kemalangan dan perlu membuat rawatan di luar daerah atau negeri masing-masing, ini dibolehkan tetapi mesti dilaporkan kepada pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar khas selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya juga mengambil maklum mengenai kesukaran pekerja yang masih bertugas sama ada di sektor swasta ataupun kerajaan untuk keluar berikutan perlu melalui sekatan jalan raya.

Berikutan itu, katanya, kerajaan memutuskan supaya majikan masing-masing mengeluarkan surat kebenaran bekerja supaya dapat memudahkan pergerakan pekerja masing-masing.

“Bagi kakitangan kerajaan pihak ketua setiausaha (KSU) masing-masing akan mengeluarkan surat kebenaran perjalanan, begitu juga dipihak swasta, mereka perlu mendapat surat kebenaran perjalanan melalui majikan dan saya harap majikan serahkan senarai pekerja mereka ke balai polis berdekatan supaya dapat pelepasan mudah sewaktu diperiksa polis.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh PKP berjalan, kerajaan juga menetapkan perkhidmatan kenderaan awam hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk menurunkan harga siling topeng muka di bawah RM2 dalam tempoh terdekat ini selepas mendapat maklum balas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tambahnya, sektor-sektor yang terlibat dalam industri makanan masih dibenarkan beroperasi seperti biasa bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan rakyat sentiasa mencukupi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM12,297,450 untuk menyediakan makanan kepada 74,530 pelajar dengan kos bantuan RM15 sehari selama 11 hari.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here