Peserta ijtimak tabligh digesa buat pemeriksaan

0
65
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri memohon kepada peserta yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu segera menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, ini susulan saranan daripada pihak Kementerian Kesihatan berikutan terdapat seorang peserta program tersebut disahkan positif Covid-19.

Mengulas lanjut, katanya, sekiranya keadaan wabak Covid-19 masih terkawal solat Jumaat hendaklah diteruskan dengan beberapa syarat.

“Antara syaratnya khutbah dipendekkan, orang ramai berwuduk dari rumah dan mereka yang ada simpton Covid-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang sakit.

“Pada masa sama, pihak masjid atau jemaah juga wajib menyediakan sabun pembersih tangan atau penutup mulut sebagi langkah pencegahan dan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan seorang peserta ijtimak tabligh itu positif Covid-19.

Pesakit yang dikenal pasti warga tempatan berusia 60 tahun itu adalah kes ke-131 yang dikesan kementerian dan mula mempunyai gejala deman, batuk serta selsema pada 4 Mac lalu.

Tambahnya, sekiranya keadaan wabak tersebut merebak tanpa terkawal solat Jumaat boleh tidak dilakukan tetapi wajib digantikan dengan solat zohor di rumah masing-masing.

“Dalam hal ini terdapat beberapa garis panduan antaranya larangan tersebut perlu dikeluarkan oleh pemerintah yang berautoriti seperti Kementerian Kesihatan dan larangan tersebut termasuk juga sebarang bentuk acara perhimpunan sama ada rasmi atau pun tidak.

“Selain itu, pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan telah menjalankan pemeriksaan yang rapi terhadap jemaah yang ke masjid atau surau dalam tempoh jangkaan penularan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here