
CYBERJAYA – Gara-gara tular berita dua orang kenamaan pernah duduk semeja dengan seorang pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) yang dikesan positif Covid-19, sekumpulan petugas media yang pernah membuat liputan terhadap beliau semalam mula melakukan pemeriksaan di klinik kerajaan sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut seorang petugas media sebuah portal berita yang enggan dikenali, dia bergegas melakukan pemeriksaan kesihatan selepas terlihat gambar bekas pemimpin itu berbual dengan pengerusi syarikat tersebut dalam satu majlis perpisahan pada Khamis lalu.
“Saya ada terbaca berita mengenai beliau yang pernah berbual dengan pesakit Covid-19 ini, bimbang dengan keselamatan diri jadi saya datang untuk melakukan pemeriksaan di Hospital Sungai Buloh di sini,” katanya kepada Malakat Tribune.
Selepas tersebar berita pesakit Covid-19 tersebut syarikat itu dalam satu kenyataan menasihati mana-mana individu yang berhubungan langsung dengannya supaya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan terutama yang mengalami simptom demam panas, sakit tekak dan lain-lain.
Turut bersama mereka dalam majlis itu ialah seorang lagi pemimpin yang juga bekas timbalan menteri dan barisan pegawai kanan kementerian berkenaan.
Dalam pada itu, seorang wartawan sebuah portal berita yang enggan dikenali yang turut menemubual bekas menteri itu ketika ‘berkampung’ di hadapan kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendapatkan pemeriksaan awal di klinik berhampiran.
Namun begitu, katanya, doktor mengesahkan bahawa dia negatif dan perlu kuarantin selama dua atau tiga hari sebelum bertugas seperti biasa.
“Alhamdulillah, doktor cakap negatif tetapi kalau ada tanda-tanda demam dan lain-lain tanda Covid-19, kena datang balik,” katanya.-MT