‘Petugas NGO tidak terkecuali jangkitan’

0
60

CYBERJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan atau NGO di negara ini tidak dibenar mengagihkan bantuan secara terus kepada orang ramai sebaliknya boleh menyerahkan sumbangan mereka ke pusat-pusat agihan diwujudkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung status kesihatan melibatkan golongan penerima dan juga anggota NGO.

Beliau berkata, walaupun keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan NGO yang mahu mengagihkan sendiri bekalan bantuan, kerajaan terpaksa melaksanakannya demi kepentingan nyawa orang ramai.

“Kami bimbang kalau kita tidak dapat menentukan, takut-takut antara dalam kalangan NGO ada yang dijangkiti oleh Covid-19 dan akhirnya merebak sesama mereka dan ahli keluarga.

“Kerajaan sebenarnya sangat berterima kasih kepada NGO kerana mereka turut berada di barisan hadapan termasuk dalam banyak krisis sebelum ini seperti banjir dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar khas berhubung Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Bagaimanapun katanya, kesungguhan dan kegigihan pihak NGO membantu golongan yang memerlukan tidak pernah dihalang cuma ia perlu disusun secara sistematik demi keselamatan semua pihak.

“Kita tahu ramai NGO yang tidak berpuas hati apabila kerajaan tidak benarkan mereka menyumbang secara terus kepada penerima.
“Saya tidak katakan tidak boleh memberi sumbangan tapi mereka perlu memberi sumbangan kepada pusat-pusat yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan terutama mesyuarat jawatankuasa khas menteri-menteri sentiasa mendengar pendapat daripada kumpulan NGO dan terbuka untuk mengadakan perbincangan.

Ditanya lebih lanjut mengenai tarikh perbincangan itu, Ismail berkata rundingan secara bersemuka mungkin tidak dapat diadakan sebaliknya
kaedah persidangan video melalui aplikasi media sosial mungkin dapat dilakukan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan sebanyak RM5.8 juta bantuan akan diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia kepada penerima yang layak. -MT

Pergerakan petugas NGO yang tidak diselaras dengan baik juga meletakkan mereka dalam kategori individu berisiko terkena jangkitan Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here