PH Melaka tumbang, kemunculan Norhizam curi tumpuan

0
156
Datuk Norhizam Hassan Baktee mengumumkan menyertai kerajaan Perikatan Nasional hari ini

CYBERJAYA – Gabungan Perikatan Nasional yang dianggotai Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan pembentukan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu di Melaka.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pembentukan kerajaan baharu itu turut mendapat penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis, dan ADUN Pengkalan Batu daripada DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

“Ketika ini BN mempunyai 13 ADUN, ditambah dua ADUN Bersatu iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) selain Jailani dan Norhizam menjadikan kita mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Secara rasminya, kerajaan negeri ketika ini tidak berfungsi dan Perikatan Nasional akan mengambil alih pentadbiran negeri,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, kemunculan Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka dalam sidang akhbar tersebut mengejutkan ramai pihak.

Bercakap dalam sidang akhbar sama, ADUN Pengkalan Batu itu berkata, beliau bertindak menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional demi kepentingan Melayu.

“Saya bertindak demi kepentingan orang Melayu yang mana saya sudah bekerja keras, mereka kata nak berkhidmat tapi saya tengok saya jadi barua saja.

“Bila hati dan jiwa raga saya serahkan (kepada kepimpinan sebelum ini), ini yang berlaku.

Saya kecewa, jadi saya balik ke pangkuan. Saya harap barisan kepimpinan kerajaan baru tak kecewakan rakyat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kedudukannya dalam DAP, Norhizam menjelaskan perkara itu antara beliau dan parti.

“Itu antara saya dan parti, saya bersedia dengan semua kemungkinan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here