PKP: 32 orang termasuk warga Nigeria ditahan

0
150

CYBERJAYA – Seramai 32 orang ditahan semalam kerana didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, antara tangkapan yang dilakukan ialah tujuh lelaki berumur  25 hingga 47 tahun berkumpul tanpa sebarang tujuan di Kampung Sungai Kayu Ara Damansara pukul 11.30 pagi.

Beliau berkata, tangkapan kedua pula menahan seorang lelaki warga Nigeria berusia 49 tahun yang bertindak agresif semasa pemeriksaan di sekatan jalan raya Plaza Tol Subang menghala Petaling Jaya.

“Tangkapan dibuat kerana suspek tidak memberi alasan yang munasabah semasa keluar dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun rasmi Facebook Ibu pejabat Daerah Polis Petaling Jaya hari ini.

Nik Ezanee menambah, tangkapan ketiga pula melibatkan seorang lelaki berumur 28 tahun yang cuba membuat provokasi dan mempertikaikan mengapa dia tidak boleh berada di lokasi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berdekatan Icon City, Petaling Jaya.

Beliau berkata, tangkapan seterusnya melibatkan empat lelaki berusia 18 hingga 25 tahun yang berkumpul tanpa sebarang tujuan di hadapan sebuat mini pasar raya di Uptown Damansara.

“Selain itu, tiga lelaki berusia 25 hingga 28 tahun ditahan di Taman Permainan Blok E Apartmen Pelangi Surian Damansara kerana berkumpul sambil meminum minuman keras,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan itu disiasat dibawah peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Polis menggesa orang ramai patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak mengambil remeh tentang perkara itu dengan duduk di rumah serta keluar sekiranya ada keperluan mendesak.

“Polis juga berharap tahap pematuhan terhadap arahan PKP meningkat kepada 90 peratus,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here