PKP: Alasan mahu hantar resipi masakan

0
79

PUTRAJAYA – Lima individu ditahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi dua tangkapan di pusat pentadbiran Persekutuan di sini semalam.

Kesemua mereka berumur 18 hingga 34 tahun dan direman di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kes pertama membabitkan dua lelaki dikesan melakukan kesalahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lebuh Sentosa, Presint 7 pada pukul 2.50 petang.

Rosly berkata, dua lelaki berkenaan memberikan alasan tidak munasabah, mahu pergi ke rumah rakan untuk memberikan resipi masakan ketika ditahan.

“Kedua-dua lelaki berkenaan dituduh di Mahkamah Putrajaya hari ini dan dikenakan hukuman penjara satu minggu dan denda RM1,000. Sekiranya gagal membayar denda hukuman satu tahun penjara.

“Tangkapan kedua pula membabitkan tiga pelajar antarabangsa universiti swasta iaitu seorang wanita warga Djibouti dan dua lelaki warga Kenya dan Sudan dalam SJR di Presint 14 pada pukul 5.50 petang,” katanya.

Menurut Rosly, ketika soal siasat ketiga-tiga pelajar itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang asal sebaliknya hanya mampu menunjukkan salinan

“Pelajar berkenaan memberikan alasan tidak munasabah kerana mahu ke rumah rakan untuk mengambil wang dan selepas diarahkan berpatah balik mereka memberi pelbagai alasan sebelum ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Tiga pelajar itu ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan melanggar perintah PKP,” katanya.

Melanggar PKP adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here