PKP fasa dua lebih ketat dan tegas- Ismail Sabri

0
172

PUTRAJAYA- Kerajaan akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dan tegas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan SOP berkenaan dipatuhi rakyat.

“Esok bermula PKP fasa dua di mana , jika dulu ada kelonggaran dan pengecualian pada fasa pertama sekarang kita perkenalkan SOP baru yang akan dilaksanakan oleh polis dan tentera.

“Ia akan lebih ketat dan tegas, pihak polis dan tentera akan pastikan pematuhan rakyat terhadap segala SOP baru ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri menghadiri mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri bagi menyelaraskan pelaksanaan PKP fasa dua agar dapat diikuti oleh setiap negeri.

Menurut Ismail Sabri, semalam terdapat sebanyak 742 individu yang ditahan kerana melanggar PKD dan jumlah itu berkurangan berbanding hari sebelumnya iaitu sebanyak 828 individu.

“Saya berharap trend penurunan mereka yang ditahan ini akan berterusan. Ia bagi gambaran rakyat semakin sedar mengenai keperluan untuk patuh kepada setiap arahan kerajaan.

“Berdasarkan statistik, semalam PDRM bersama ATM membuat 1,547 sekatan jalan raya dengan 383,488 kenderaan diperiksa selain 22,586 pemeriksaan mengejut.

“Sehingga kini, 165 individu telah dituduh di mahkamah dan enam individu telah didenda dan dipenjara. Ingin saya maklumkan tempoh penjara di Sarawak ialah satu hingga empat bulan.

“Saya harap, rakyat melihat bawah perintah PKP ini secara serius. Patuhilah segala arahan yang telah dikeluarkan bagi memastikan wabak Covid-19 ini dapat dikawal,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here