PKP : Laluan khas petugas barisan hadapan

0
171

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan laluan khas untuk petugas barisan hadapan dan kenderaan perdagangan keperluan asas di setiap lebuh raya.

Langkah berkenaan bagi memastikan semua pergerakan penting pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berjalan lancar.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan laluan khas berkenaan dikhaskan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta lain-lain agensi yang terbabit dalam PKP.

“Selain petugas barisan hadapan ini, turut dibenarkan melalui laluan khas berkenaan adalah kenderaan perdagangan yang membawa barangan keperluan asas dan makanan.

“Laluan khas ini dibuka di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap lebuh raya bagi memastikan mereka yang terbabit sebagai petugas hadapan segera sampai ke destinasi serta tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun rasmi Facebook PDRM.

Selain kumpulan yang dinyatakan itu, pegawai kakitangan kerajaan berkepentingan yang terbabit dalam penugasan PKP juga boleh menggunakan laluan khas itu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, selain kenderaan perdagangan wartawan media cetak dan elektronik yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan juga dibenarkan melalui laluan berkenaan.

“Selain petugas barisan hadapan, pekerja media juga boleh melalui laluan berkenaan dengan syarat menunjukkan pas atau kad media serta surat kebenaran dari syarikat masing-masing,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here