PKPD: Batu 21 hingga 24 Sungai Lui, Hulu Langat bermula tengah malam ini

0
1252

KUALA LUMPUR – Kawasan Hulu langat menjadi lokasi kedua selepas Simpang Renggam, Johor apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga 24 Sungai Lui berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 13 April.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan pengesahan 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tesebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes rumah ke rumah dilaksanakan dalam tempoh 14 hari.

“PKPD melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah. Ini termasuk tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Ismail Sabri menambah, semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan itu tidak dibenarkan keluar rumah, manakala orang luar tidak langsung dibenarkan masuk ke kawasan yang diwartakan.

Selain itu, beliau berkata, kesemua jalan keluar dan masuk ke kawasan berkenaan akan ditutup, dan kesemua aktiviti perniagaan dihentikan.

Menurut beliau, makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-89114200.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here