PM hargai Kementerian Kewangan, BNM, industri perbankan

0
112

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah-langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan pinjaman perniagaan melibatkan jumlah nilai kira-kira RM100 bilion.

Menurut beliau, ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna dan berterima kasih diatas keprihatinan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta industri perbankan di negara ini.

“Bermula 1 April ini, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam-peminjam individu dan PKS(perusahaan kecil dan sederhana) di masa yang amat mencabar ini.

“Pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.

“Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April hingga 31 Disember ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.

“Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” ujar beliau.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa mendengar permintaan dan denyut nadi rakyat.

“Saya sedar bahawa impak wabak Covid-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.

“Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun PKS yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here