PM umum 4 langkah perkukuh Pakej Rangsangan Ekonomi

0
136

Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan empat langkah memperkukuhkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 2020) termasuk usaha menangani impak penularan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi mengurangkan beban pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, kerajaan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM600 setiap bulan selama tempoh maksimum enam bulan.

Bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM120 juta itu layak untuk pekerja yang diberikan notis bekerja tanpa gaji bermula 1 Mac lalu dan pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.

“Seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di pejabatnya, hari ini.

Kerajaan juga akan memperluas pemberian diskaun caj elektrik sebanyak dua peratus untuk pengguna domestik serta sektor lain termasuk komersial, perindustrian dan pertanian.

“Dalam PRE pada 27 Februari lalu, kategori perniagaan terjejas berikutan Covid-19 terutama sektor pelancongan akan menerima diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik untuk tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September.

“Mengambil kira penularan Covid-19, kerajaan memutuskan memberi diskaun dua peratus bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 September. Langkah diskaun ini dijangka membabitkan anggaran peruntukan RM500 juta,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembayaran awal Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM200 kepada penerima pada hari ini yang diawalkan berbanding tarikh asal pada Mei.

“Bayaran berjumlah RM760 juta ini akan memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah BSH. Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang diumum dalam PRE akan dibayar pada Mei dan bayaran tambahan Mei ini membabitkan RM500 juta, memanfaatkan lima juta penerima,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memutuskan pelaksanaan projek-projek kecil berjumlah RM2 bilion yang diumumkan dalam PRE akan mula dilaksanakan bulan depan.

Pelaksanaan semua projek berkenaan akan dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara dan laporan mingguan akan diberikan kepadanya.

“Projek-projek ini akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor bumiputera kecil.

“Kementerian Kewangan sudah mengeluarkan Pekeliling berkuatkuasa 16 Mac lalu untuk menaikkan siling cabut undi daripada RM50,000 kepada RM100,000 dan sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here