CYBERJAYA – Angin perubahan berlaku di Perak apabila 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju membentuk kerajaan baharu.
AHMAD FAIZAL AZUMU
Memetik portal Astro Awani, perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berkata, kerajaan negeri kini terbentuk hasil gabungan wakil rakyat UMNO (25 kerusi), Pas (tiga kerusi) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (empat kerusi).
Jelas beliau, Bersatu mendapat pertambahan dua lagi kerusi selepas penyertaan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
“Saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, UMNO dan Pas negeri Perak telah mencapai persetujuan untuk membentuk sebuah gabungan baharu.
“Gabungan ini melibatkan empat ADUN daripada Bersatu iaitu saya sebagai ADUN Chenderiang dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi, serta dua lagi ADUN yang telah menyertai Bersatu, iaitu ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
“Selain itu, gabungan ini turut melibatkan kesemua 25 ADUN daripada UMNO dan 3 ADUN daripada Pas.
“Dengan gabungan ketiga-tiga parti ini, maka Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak dapat menubuhkan Kerajaan Negeri Perak yang baharu, dengan jumlah majoriti 32 Ahli Dewan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Keputusan itu sekali gus menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terbentuk pada Mei 2018 runtuh.
Ahmad Faizal bagaimanapun menyatakan bahawa sehinggi kini beliau masih menjadi Menteri Besar.