Polis tahan majikan, pekerja langgar PKP

0
315
Gambar hiasan

LAHAD DATU – Tindakan mengugut untuk memotong gaji membawa padah apabila dua majikan yang juga adik-beradik ditahan bersama enam pekerja mereka di Jalan Dam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, tindakan majikan masing-masing berusia 47 dan 50 tahun itu melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Sepasukan polis melakukan pemeriksaan di sebuah bengkel perkakasan besi sebelum mendapati enam lelaki bersama dua majikan sedang bekerja di dalam bengkel berkenaan, dan siasatan mendapati bengkel itu masih beroperasi sejak 23 Mac lalu,” menurutnya dalam satu kenyataan dipetik Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, pekerja terbabit mendakwa mereka telah diarah oleh kedua-dua majikan untuk datang bekerja bagi mengelak gaji dipotong.

“Sehubungan itu, kedua-dua majikan telah ditahan untuk siasatan lanjut, selain pekerja terbabit iaitu empat warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 19 hingga 37 tahun,” katanya.

Nasri berharap penahanan itu akan menjadi pengajaran kepada semua penduduk Lahad Datu supaya tidak memandang ringan arahan PKP.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, seorang lelaki berusia 32 tahun yang memandu kereta jenis Persona telah ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya yang dilaksanakan di bawah PKP di Kilometer 50, Jalan Tawau-Kunak pada 8.35 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here