KEMELUT politik negara nampaknya sudah selesai walaupun ada cakap-cakap krisis itu belum berakhir.
Minggu lalu penuh debaran setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan. Maka berlakulah pergolakan politik yang membuatkan beberapa isu lain seolah tenggelam terutama Covid-19.
Dalam kekalutan itu, penulis membaca setiap komen warga maya dalam akaun Facebook Malakat Tribune.
Dalam banyak-banyak komen, penulis tertarik dengan beberapa komen supaya perkara berkaitan kempen ‘Buy Muslim First’ jangan ‘ditenggelamkan’.
Sebenarnya, sepanjang minggu lalu kempen berkenaan tidak tenggelam. Malah ia masih membara sehingga kini.
Walaupun krisis politik berlaku ada juga pihak yang datang ke pusat beli belah bumiputera pertama, Malakat Mall untuk melihat lebih dekat proses pengubahsuaian walaupun ia masih belum dibuka.
Ketika berehat di suatu tempat, rombongan dari Jamaah Muslimat Tanjung Malim itu memuji dengan pusat beli belah itu yang dianggap satu kebangkitan ekonomi Islam.
Mereka mendoakan semoga Malakat Mall berjaya dan menjadi titik tolak meningkatkan ekosistem ekonomi masyarakat Islam di negara ini.
Terharu rasa penulis apabila ahli-ahli rombongan itu mendoakan semoga warga kerja Malakat Mall terus berjuang dan jangan mengalah.
Nampaknya kempen BMF ini semakin diterima ramai. Siapa yang kata BMF ‘sejuk’ atau sendu boleh ditangkis dengan mudah.
Pejuang-pejuang BMF tidak bergerak secara nyata tapi mereka giat berkempen dalam laman-laman sosial di setiap platform.
Walaupun suasana politik negara telah berubah tetapi perjuangan mengutamakan produk Muslim perlu diteruskan.
Hanya umat Islam sahaja yang mampu mengubahnya, bukan bangsa lain tapi kita yang perlu meneruskan perjuangan ini. – MT