Program turun padang perlu ikut SOP MKN

0
136

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

KUALA LUMPUR – Program turun padang bertemu masyarakat oleh agensi kerajaan masih dilihat mempunyai kepentingan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa, namun perlu dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini termasuk tempoh program yang pendek, kehadiran yang minimum, dan menjaga penjarakan sosial antara hadirin.

“Yang penting (dengan bertemu masyarakat) kita boleh dengar secara terus (masalah mereka), kita boleh kutip maklumat-maklumat yang perlu, yang kadang-kadang tak sampai melalui saluran rasmi,” katanya kepada pemberita, di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Air Panas, di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan #MusaadahCovid-19 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dalam bentuk wang tunai RM200 dan barangan keperluan harian bernilai RM300, sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP, kepada 10 penerima asnaf.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Bantuan ini, adalah sebahagian daripada peruntukan tambahan zakat khas RM12.1 juta, kepada 24,196 asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, yang diluluskan MAIWP Sabtu lepas.

Marzuk berkata, baki penerima yang lain akan menerima bantuan tunai sebanyak RM500 yang akan disalurkan awal April ini.

Mengulas lanjut Marzuk berkata, program bertemu masyarakat di bawah MAIWP yang telah disusun sebelum ini turut akan diteruskan, namun akan dilihat semula dan dihadkan kepada lokasi yang perlu sahaja.

“Ini untuk kami berikan semangat (kepada mereka yang terjejas) kami harap mereka boleh bertahan dan bersabar, dengan situasi sekarang,” katanya. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here