PRS boleh dikeluarkan tanpa penalti

0
181

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan akaun B bagi Skim Persaraan Swasta (PRS) dikeluarkan sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa dikenakan sebarang penalti cukai.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengeluaran pra-persaraan itu boleh dikeluarkan sepanjang tempoh April hingga Disember ini.

“Saya sedar bahawa ada di kalangan saudara-saudari yang menabung untuk simpanan hari tua dalam PRS. Dalam keadaan yang sukar pada waktu ini, tentulah saudara-saudari memerlukan wang tunai daripada apa jua bentuk simpanan untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan harian.

“Sehubungan itu, kerajaan membenarkan pengeluaran pra-persaraan dari akaun B PRS sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh bulan April hingga Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada 1.5 juga penjawat awam termasuk berstatus kontrak yang akan dibayar pada April ini.

Pada masa sama, katanya, bantuan RM500 juga akan disalurkan kepada lebih 850,000 pesara kerajaan yang akan dibayar pada tempoh yang sama.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memanjangkan manfaat daripada program mySalam kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

Katanya, sebelum ini, hanya pesakit yang disahkan positif Covid-19 sahaja dibenarkan menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14
hari.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here