Pulihkan ekonomi perlu jadi tumpuan utama

0
144

CYBERJAYA – Keutamaan memulihkan kedudukan ekonomi negara wajar menjadi keutamaan tertinggi bagi kerajaan baharu yang telah dipilih untuk mentadbir Malaysia bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menurut  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, ini kerana kesuraman ekonomi Malaysia mesti dicergaskan kembali dan usaha ini mesti dilipat gandakan.

Pada masa sama beliau turut menggesa supaya semua pihak kembali bertaut sebagai sebuah bangsa dan negara dengan memberi keutamaan kepada tanah air dan masa depannya.

“Setiap daripada kita menyimpan cita-cita untuk Malaysia yang terbaik. Inilah persamaan yang selalu kita lupai.

Jaminan masa depan Malaysia yang lebih baik itu tidak memerlukan pidato yang inspiratif, atau retorik yang menusuk kalbu. Ia memerlukan kerja keras, idea yang tulen dan keeratan kerjasama rentas kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, beliau turut memuji kematangan rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan suasana gawat ekonomi tanpa mencetuskan sebarang kekacauan.

“Krisis kepimpinan Malaysia akhirnya selesai dan suasana gawat politik telah reda. Telah terbit fajar baru untuk Malaysia. Sesuatu yang mesti kita hargai dari semua episod ini ialah betapa matangnya rakyat Malaysia.

“Negara terus aman dan damai. Tiada yang ke jalanraya dan menunjuk rasa. Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tanggungjawab seperti dibentangkan dalam Perlembagaan negara. Rakyat tidak panik dan bertindak keburuan. Terima kasih rakyat Malaysia kerana sikap sangat sabar dan bertanggungjawab ini. Anda semua adalah petunjuk sebenar bangsa yang berkemajuan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad juga berharap supaya kerajaan baharu bakal ditubuh ini mewakili rakyat secara keseluruhan meskipun didominasi oleh tiga parti Melayu utama.

“Sekarang terpulanglah kepada Perdana Menteri dan rakan-rakan sekutunya, untuk mengembalikan kepercayaan rakyat setelah apa yang berlaku.

Walaupun didominasikan oleh tiga parti Melayu utama negara ini, rakyat mengharapkan pemerintahan baru akan menjadi Kerajaan semua untuk semua,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here