Putuskan rantaian Covid-19, pilihan pada anda

0
273

Ketika penulis dalam perjalanan ke kedia runcit  membeli barangan keperluan, jalan raya kelihatan lengang, gerai pula banyak yang tutup kerana akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Rasa pelik pun ada kerana selama ini laluan yang dilalui sentiasa sibuk. Malah menjadi sesak jika kenderaan mahu memasuki simpang ke kawasan rumah penulis.

Boleh dikatakan kalau hendak baring di tengah jalan pun tiada masalah. Itu antara dialog bagi warga kota. Ia sinonim apabila ibu kota jadi lengang jika ada cuti perayaan. Tapi kali ini sebelum cuti raya sudah lengang kerana PKP.

PKP dilaksanakan untuk memastikan rantaian wabak Covid-19 diputuskan. Caranya adalah dengan duduk di rumah. Jika hendak keluar pun hanya urusan mustahak atau membeli barangan keperluan.

Namun ada juga segelintir yang tidak faham atau buat-buat faham tentang pelaksanaan PKP ini.

Ketika peringkat awal pelaksanaan, ada yang tidak endah malah mengambil kesempatan dengan bersiar-siar atau bermain di taman permainan.

Namun setelah nasihat serta penguatkuasaan dilaksanakan baharulah mahu duduk rumah. Itu pun pihak berkuasa memberi pilihan, hendak masuk penjara atau bayar denda. 

Esok genap dua minggu PKP fasa pertama dilaksanakan. Pada fasa itu,  boleh dikatakan bagi memberi kesedaran tentang pentingnya berada di rumah. Itu pun ramai tidak faham.

Fasa pertama menyaksikan 828 individu ditahan kerana ingkar PKP. Ia bukan sahaja melibatkan remaja, malah golongan profesional pun tidak memahami arahan itu.

Kali ini fasa kedua yang dimulakan 1 April nanti akan diperketatkan. Langkah kerajaan itu bukan menindas rakyat tapi mahu melihat rakyat kembali menjalani kehidupan sebelum Covid-19 muncul di negara ini.

Tidak inginkah anda pergi bersiar-siar bersama keluarga atau rakan-rakan di kompleks beli-belah, pusat peranginan dan lain-lain.

Bagi umat Islam sudah tentu mahu solat berjemaah di masjid atau surau termasuk solat Jumaat. Walaupun kita yakin tidak dijangkiti wabak itu tapi kita tidak mengetahui adakah rakan kita atau orang sekeliling kita dijangkiti Covid-19.

Maka dalam tempoh sehingga 14 hari lagi, marilah kita bersatu dengan hanya duduk di rumah. 

Jika statistik tidak masih tidak menunjukkan tanda mendatar maka bersedialah menempuh tempoh PKP dilanjutkan lagi.

Janganlah kita menambah jumlah pesakit Covid-19 di negara ini jika ingin terus berdegil mengingkari arahan PKP. – MT 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here