Raja Permaisuri Agong doakan 16 kakitangan Istana Negara cepat sembuh 

0
205

CYBERJAYA – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendoakan 16 kakitangan Istana Negara yang dijangkiti Covid-19 semoga cepat sembuh daripada wabak itu.

Dalam hantaran melalui akaun Instagram milik Raja Permaisuri Agong itu, baginda bertitah, kesemua kakitangan itu kini sedang menerima rawatan.

Titah Raja Permaisuri Agong, baginda sekeluarga mematuhi arahan doktor dengan duduk berasingan dalam bilik masing-masing dan hanya mampu lambai dari jauh sahaja.

“Kami tidak dibenarkan visitor (pelawat) dan juga tidak ada sesiapa dibenarkan naik keatas istana. Hanya kami sahaja di atas.

“Tidak ada pelayan atau pengawal peribadi. Tuanku Agong, saya dan anak buat sendiri semua. Cuci dan kemas bilik sendiri kerana kami berada dalam kalangan yang positif,” maklum baginda dalam akaun Instagram itu.

Tunku Azizah bertitah, baginda sekeluarga bersyukur kerana beberapa kali menjalani ujian Covid-19 dan didapati negatif dan hanya boleh keluar dari bilik pada 9 April ini.

“Selepas itu kena berjaga-jaga dan begitu juga dengan semua kakitangan istana,” titah baginda.

Raja Permaisuri Agong bertitah, baginda bersyukur kerana anak-anak baginda memahami dan tidak ada mengadu kerana dikuarantin dalam bilik masing-masing.

“Semua baik-baik duduk dalam bilik dan makan apa sahaja yang saya tempah,” titah baginda.

Raja Permaisuri Agong turut menyeru rakyat Malaysia bekerjasama menghapuskan wabak itu daripada terus merebak.

“Jangan keluar dan jangan degil. Ini tanggungjawab kita semua. Walaupun kita serah kepada Allah SWT, kita juga dituntut berikhtiar,” titah baginda. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here