Raja Permaisuri Agong mohon doakan keselamatan mereka selepas 9 petugas istana positif Covid-19

0
410
Tangkap layar daripada laman Instagram Raja Permaisuri Agong apabila pasukan bomba dan Jabatan Kesihatan tiba untuk memindahkan kontak dan pesakit yang mempunyai kaitan Covid-19

CYBERJAYA – Jumlah petugas Istana Negara yang disahkan positif Covid-19 bertambah dua orang lagi sekali gus menjadikan jumlah yang dijangkiti wabak tersebut meningkat kepada sembilan orang.

Menerusi satu status dalam laman Instagram milik Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baginda bertitah, di Istana Negara hanya tinggal baginda sekeluarga bersama tiga pembantu yang tidak dijangkiti Covid-19

Petugas Istana Negara diasingkan sebelum dibawa menaiki bas ke hotel

“Setakat ini sudah sembilan orang positif, di istana hanya tinggal saya sekeluarga bersama tiga pembantu. Tiada siapa di benarkan keluar bilik, no visitors (tiada pelawat).

“Ya Allah selamatkan Malaysia. Saya merupakan kontak rapat kepada sembilan orang ini. Mohon doakan kami,” titah baginda sebentar tadi.

Sebelum ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, kini menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari bermula semalam, selepas tujuh petugas Istana Negara dikesan positif Covid-19.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut menjalani saringan kesihatan dan pengesanan Covid-19 dan disahkan negatif.

Sementara itu, dalam status sama, Raja Permaisuri Agong turut memuatkan pesanan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Kesihatan yang telah berada di Istana Negara.

Seorang anggota bomba memberikan penerangan kepada petugas Jabatan Kesihatan untuk melicinkan kerja pembersihan dan membawa keluar petugas istana untuk dikuarantin

Dalam mesej tersebut menyebut bahawa kesemua petugas di istana tersebut akan menjalani prosedur ketat yang telah ditetapkan.

“Mereka semua akan dibawa ke hotel untuk dikuarantin secepat mungkin. Prosedur yang mereka akan lalui ialah mereka semua perlu menukar pakaian yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan dan akan disinfeksi sebelum menaiki bas termasuk barang peribadi milik mereka.

“Kesemua mereka kemudian akan dipecahkan kepada tiga kumpulan dan akan menaiki bas berbeza. Kumpulan pertama ialah mereka yanh disahkan negatif, kumpulan kedua ialah mereka yang belum menjalani ujian saringan kesihatan dan kumpulan terakhir melibatkan mereka yang sudah menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan selesema,” menurut kenyataan daripada pasukan tersebut. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here