Rakyat Kelantan diminta bertenang

0
117

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menitahkan rakyat negeri ini supaya akur dan mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam membantu usaha membendung penularan COVID-19.

Baginada dalam satu kenyataan, menyeru semua rakyat Kelantan supaya bertenang dan tidak membeli barang keperluan lebih dari yang diperlukan bagi memastikan bekalan makanan di pasaran mencukupi untuk semua.

“Beta mencadangkan pemilik kedai merancang penjualan barangan mereka supaya bahan keperluan harian mencukupi.

“Seeloknya, beta menyarankan pemilik premis menyediakan waktu khas kepada warga emas dan golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan untuk membeli dalam persekitaran yang selamat,” titah baginda.

Baginda turut menggesa semua yang menghadiri Ijtimak Jord Qudama’ dan Ulama Malaysia di Masjid Seri Petaling, Selangor yang belum menjalani pemeriksaan segera ke hospital yang disenaraikan untuk menjalani ujian saringan.

Dalam titah yang sama, baginda menyarankan rakyat negeri ini hanya mendapatkan maklumat sahih dari saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan serta kerajaan negeri malah tidak terburu-buru untuk mempercayai berita tular yang belum disahkan.

Baginda berkata, semua pihak memainkan peranan penting supaya seluruh rakyat Kelantan menjaga kesihatan masing-masing, terutama sekali ahli keluarga, warga emas dan golongan yang mudah terdedah serta sentiasa bertimbang rasa terhadap jiran sekeliling.

“Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan terutama sekali petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus bekerja tanpa menghiraukan penat dan lelah untuk mengekang penularan COVID-19.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan COVID-19 ini akan dapat dikawal dan keadaan di Malaysia akan pulih serta kembali seperti biasa.

“Semoga tindakan kolektif yang diambil oleh masyarakat akan dapat segera melandaikan puncak jangkitan (flatten the curve),” titah baginda. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here