Ramai terputus bekalan makanan, bantulah mereka

0
214
MOHD.FADZIL HASHIM

Oleh SITI AZIELAH WAHI

RAUDHAH CITY – Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim mengajak orang ramai untuk menyumbang kepada golongan yang terjejas kerana tidak mempunyai pendapatan tetap susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini.

Mohd. Fadzil berkata, berdasarkan permohonan melalui platform SadaqahMarket yang baru dilancarkan semalam oleh Malakat Mall dan Yayasan Brainy Bunch, lebih 2,000 keluarga memohon kerana terkesan dengan PKP.

“Kita harus memikirkan sahabat kita khususnya mereka yang terkesan dengan keadaan sekarang khasnya keluarga yang pendapatan mereka berasaskan pendapatan harian. Mereka pastinya terjejas dalam waktu sekarang kerana tidak dapat bekerja.

“Sejak pendaftaran permohonan dibuka semalam, lebih 2,000 telah memohon, 50 peratus daripada mereka mempunyai stok mencukupi hanya untuk tiga hari, bahkan seramai 500 pemohon sudah tidak mempunyai makanan lagi,”katanya melalui siaran langsung akaun Facebook miliknya hari ini.

Bantuan makanan tengah hari sumbangan Malakat Mall dengan kerjasama Yayasan Brainy Bunch di Putra Perdana, Puchong, semalam.

Pada masa masa beliau turut menggerakkan satu lagi kempen untuk membuka ruang kepada mereka yang ingin membayar Fidyah berpuasa menyalurkan sumbangan beras kepada mereka memerlukan.

“Beras yang hendak disumbangkan bagi tujuan membayar Fidyah boleh disalurkan melalui kami untuk diagihkan kepada memerlukan kerana terdapat ramai bekerja harian terputus pendapatan seperti peniaga kecil pasar malam dan pasar pagi; pekerja kontrak dan mereka tidak mempunyai simpanan yang cukup sepanjang tempoh PKP.

“Kita mohoh supaya semua sama membantu dan sebar luaskan berita ini,” katanya.

Tambahnya, inisiatif itu dilakukan pihaknya atas kesedaran kerana setakat ini belum ada pihak lain khususnya jabatan kerajaan mengumumkan sebarang bentuk bantuan makanan kepada golongan yang terjejas itu.

Beliau berkata, bantuan dan saluran makanan itu hanya dapat diberikan bagi penduduk di kawasan Cyberjaya, Putrajaya, Dengkil, Kajang, Bangi, Puchong dan PPR Kota Damansara.

“Kepada mereka tiada dalam kawasan liputan tersebut, kami cadangkan ada pihak dapat mengetuai projek bagi mencari dana di kawasan komuniti masing-masing dan bekerjasama dengan pasar raya berhampiran untuk menghantar bantuan kepada golongan sasar yang terkesan.
“Sebenarnya ia harus dilakukan di seluruh Malaysia, memang sangat ramai yang terkesan kerana bergantung kepada pendapatan harian,”katanya.

Pada masa sama Mohd. Fadzil berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang ingin menyalurkan bantuan untuk menyediakan platform mengutip bantuan dan mengedarkan sumbangan kepada yang benar-benar memerlukan di kawasan masing-masing.

“Mari salur sumbangan dan sebar luaskan lagi ushaha ini bagi membantu golongan yang benar-benar terjejas. Anda semua adalah pemimpin dan akan ditanya apa oleh Allah siapa yang telah anda bantu.

“Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah SWT dan dibalas dengan perlindungan daripada penyakit dan diberi keberkatan di dunia dan kejayaan di akhirat nanti,” katanya.

Bagi orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh ke laman sesawang https://sadaqahmarket.com. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here