Raudhah Grocer: Pelanggan digalak beli secara dalam talian

0
304

Oleh SITI AZIELAH WAHI

RAUDHAH CITY- Orang ramai digalakkan membuat belian barangan runcit di Raudhah Grocer secara dalam talian bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, biarpun kerajaan menyarankan supaya pusat-pusat beli belah ditutup bermula esok susulan perintah kawalan pergerakan yang diumumkan semalam, Malakat Mall mengambil inisiatif mula menutupnya bermula hari ini.

Tambah beliau, pihaknya mengambil kira faktor keselamatan pekerja dan pelanggan.

“Hari ini semua kedai di Malakat Mall ditutup kecuali Raudhah Grocer. Kita maklum arahan yang dikeluarkan bermula esok tetapi hari ini sudah mula perketatkan kawalan keselamatan kerana mahu lindungi staf kita,” katanya.

Jelasnya bagi tujuan tersebut setiap kali pelanggan memasuki Malakat Mall, suhu badan mereka akan diambil disamping pihak pengurusan menyediakan cecair pembasmi kuman di semua sudut untuk digunakan pelanggan.

Jelasnya, walaupun langkah tersebut memang diamalkan sejak hari pertama Malakat Mall dibuka, namun langkah yang diambil kali ini adalah lebih ketat.

Sementara itu, seawal pukul 9 pagi, ramai pelanggan mula menunggu di pintu masuk Malakat Mall untuk membeli barangan keperluan di Raudhah Grocer.

“Alhamdulillah ramai yang datang di Raudhah Grocer namun kita harap masyarakat mula memaksimumkan pembelian secara pembelian dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu Mohd. Fadzil berkata, pihaknya yakin barangan keperluan harian yang dijual mencukupi mengikut permintaan pelanggan.

“Kita sudah menambah bekalan semua barangan basah malah ada staf bekerja sehingga pukul lima pagi dan kita telah tambah barangan. Insya-Allah ada barang mencukupi dan akan cuba memenuhi permintaan pelanggan kita,” katanya.

Semalam beliau mengumumkan Raudhah Grocer akan beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam walaupun vendor-vendor lain yang terdapat di pusat beli belah Muslim pertama di Malaysia itu terpaksa ditutup susulan pengumuman Perdana Menteri semalam.

Kafe Bunch-Oh yang menjadi tumpuan pelanggan menjamu selera turut ditutup daripada menerima pelanggan namun servis penghantaran makanan disedikan untuk para pelanggan luar.

Orang ramai yang ingin mahu membeli secara dalam talian boleh layari laman sesawang www.raudhahgrocer.com dan barangan dihantar menerusi pasukan Malakat Delivery.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here