
SETINGGI tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas lantikan sebagai Perdana Menteri kelapan. Pastinya ianya memberi keredaan kepada kemelut yang dihadapi namun belum lagi pemulihan yang mutlak.
Impian menjadi negara yang hebat dan gemilang memerlukan tindakan yang komprehensif, serentak secara bersama. Strategi yang khusus dan berkesan serta pelaksanaan yang cekap membolehkan ianya direalisasikan.
Realiti dan keperluan perubahan di sebalik kejayaan yang disasarkan mesti difahami. Keutamaan untuk menyelesaikan isu kos sara hidup, penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti pada kos yang berpatutan, dan sistem pendidikan yang setanding dengan negara maju amat dialu-alukan semua.
Perdana Menteri menjanjikan komitmen untuk memastikan kerajaan bebas rasuah, berintegriti dan bertanggungjawab. Negara yang bersih berintegriti seiring dengan kehebatan ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan lain-lain.

Transparency International melaporkan Malaysia kini berada di tangga ke-51 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Korupsi 2019 (Corruption Perception Index-CPI). Malaysia dengan mencatat skor CPI 53/100. Sedikit peningkatan daripada 47/100 (2018), namun masih kekal dalam julat yang sama. Belum jelas peningkatan yang signifikan. Banyak lagi mesti diusahakan.
Umumnya tahap integriti dan status bebas rasuah adalah berkadaran dengan tahap pendapatan dan kemajuan negara. Negara yang mencapai skor yang sangat rendah (<20) adalah negara pendapatan rendah, kemiskinan yang tinggi, kemelut kepimpinan berpanjangan, tahap pendidikan dan kesihatan yang rendah, ketidakstabilan dan ketidaktentuan polisi. Yang lebih mengejutkan ialah hanya tiga buah negara Islam iaitu Brunei, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu yang mempunyai skor CPI kebih tinggi dari Malaysia!
Sasaran Malaysia mesti untuk menjadi lebih berintegriti, sebolehnya bebas rasuah sepenuhnya. Negara-negara yang lebih ‘bersih’ umumnya adalah juga negara berpendapatan tinggi dan hebat pencapaian pendidikan, kesihatan, alam sekitar, dan pelbagai lagi aspek sosio-ekonomi dan kehidupan.
Negara-negara ini juga mengaplikasikan kadar cukai yang tinggi dan meluas. Apakah model Malaysia? Kita cari keseimbangan yang diterima semua. Yang pasti ‘murah’ dan ‘percuma’ bukan jawapan.
Arah penyebab antara status bebas rasuah dan kecemerlangan sosio-ekonomi dan kualiti kehidupan tidak mutlak dan berkemungkinan berubah arah tertakluk kepada status kemajuan negara. Saya lebih cenderung kepada penyebab dua hala, saling melengkapi. Negara bebas rasuah-mewujudkan (tidak menjanjikan) potensi untuk cemerlang dalam sosio-ekonomi dan kualiti kehidupan DAN peningkatan sosio-ekonomi dan kualiti kehidupan pula-mengurangkan kecenderungan gejala rasuah dan pecah amanah.
Apa pun, keperluan untuk terus meningkatkan integriti tetap menjadi keutamaan buat semua. Semua impian dan keutamaan yang digariskan oleh Perdana Menteri adalah perkara pokok untuk Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang hebat. Setiap kita mesti respons kepada rayuan dan saranan Perdana Menteri kita. Ayuh Malaysia, masa untuk semua bertindak!-MT
oleh: Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali