Ribuan doktor sahut seruan kerajaan Itali

0
110

ROM – Kira-kira 8,000 doktor pelbagai menyahut rayuan kerajaan Itali untuk menyertai pasukan petugas khas bagi membantu pihak hospital berjuang memerangi wabak Covid-19, lapor agensi berita Anadolu.

Menurut laporan Bernama yang memetik agensi itu berkata, doktor dan jururawat bertungkus lumus sejak wabak mula dikesan untuk membantu ribuan penduduk dijangkiti virus maut itu.

Itali adalah negara paling teruk terjejas di dunia menyaksikan angka korban sebanyak 4,825 dan lebih 42,000 kes, menurut data terkini.

Doktor dan jururawat turut memperjudikan nyawa mereka demi menyelamatkan orang lain, setakat ini sekurang-kurangnya 18 doktor menjadi korban.

Wabak Covid-19 menyaksikan sistem penjagaan kesihatan Itali yang sebelum ini efisien hampir runtuh, memaksa kerajaan mewujudkan pasukan petugas tambahan dianggotai 300 doktor untuk berkhidmat di barisan hadapan.

Sambutan amat menggalakkan dengan jumlah keseluruhan 7,923 permohonan diterima.

“Kami amat terharu dengan sambutan yang diberikan; doktor pelbagai peringkat umur, belia hingga yang berusia 80 tahun bersama-sama berganding bahu untuk berkhidmat di barisan hadapan,” kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Francesco Boccia.

Pihak kerajaan sebelum ini menyasarkan hanya kira-kira 100 sukarelawan. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here