RM1,600, RM1,000, RM800 dan RM500 untuk golongan M40

0
109

CYBERJAYA- Kerajaan mengumumkan Bantuan Prihatin Tunai Nasional iaitu pemberian tunai secara 0ne-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion kepada kumpulan M40.

Mereka yang layak ini termasuk pekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembahagian Bantuan Prihatin Tunai Nasional itu dipecahkan kepada empat kumpulan berdasarkan pendapatan isi rumah.

“Pertama, RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada Mei ini.

“Kedua, RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada April sebanyak RM500 dan baki RM500 pada Mei.

“Ketiga, RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada April dan baki RM300 pada Mei ini.

“Keempat, RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada April dan baki RM250 pada Mei,” katanya dalam Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi hari ini.

Menurut Muhyiddin, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada Julai ini melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

“Saya juga tidak lupa kepada para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Anda juga akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada Mei ini.

“Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS,” katanya.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here