Rumah Siap, Pahat Masih Berbunyi

0
299

KUPAS BAWANG

Oleh: SITI AZIELAH WAHI

KETIKA golongan dari Kumpulan B40 dan M40 tarik nafas lega mendengar pengumuman Perdana Menteri berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), banyak juga pihak mengkritiknya.

Seperti kata pepatah, rumah siap, pahat masih berbunyi, pelbagai sindiran, kritikan, pertikaian dan permintaan ditimbulkan walaupun ramai yang memuji kerajaan hari ini sebagai kerajaan yang benar-benar menjaga rakyatnya.

Baik dalam Facebook, Twitter mahupun Instagram, plaform laman sosial ini menjadi tempat pihak-pihak tertentu meluahkan rasa hati mereka terutama yang tidak berpuas hati dengan bantuan yang diberikan.

Sebaik PRIHATIN diumumkan, pemimpin-pemimpin dari blok pembangkang mengemukakan saranan supaya pakej rangsangan ekonomi ini dibahaskan di Parlimen.

Dalam tempoh ini bagaimana ia boleh dibahaskan, sedangkan rakyat mulai terdesak dalam keadaan kita berdepan peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan di depan mata.

Pada dasarnya PRIHATIN adalah pakej rangsangan khas sewaktu negara berada dalam keadaan kritikal di mana kerajaan perlu bertindak cepat demi kebajikan rakyat kerana ramai dalam kalangan B40 terjejas berikutan PKP, malah lebih teruk ada yang terputus bekalan makanan.

Golongan ini perlu berkurung di rumah yang sempit dan serba kekurangan jauh lebih teruk berbanding golongan T20 yang selesa di rumah dengan penghawa dingin dan makanan yang enak.

Selain ahli politik, muncul pula beberapa status daripada artis terkenal tanah air yang turut menuntut perhatian dan bantuan kerajaan kepada anak-anak seni benar-benar mengundang ‘panas’ warga maya.

Bukan sahaja golongan B40 dan M40 terasa hati dengan permintaan tersebut, ada kalangan artis sendiri berang apabila golongan seni yang kelihatan mewah sebelum ini tiba-tiba menyuarakan bantuan yang luar biasa daripada kerajaan.

Apa lagi, rakan artis yang menyedari situasi berkenaan mulai tampil menerusi siaran langsung dalam Instagram menghentam anak seni berkenaan.

Keadaan bertambah buruk lagi apabila seniman turut menyenaraikan tuntutan-tuntutan mereka kepada kementerian berkaitan. Apa lagi, situasi ini benar-benar mengundang kritikan dan telahan warga net.

Selepas artis, ciapan Twitter oleh dua usahawan wanita berjaya yang mengkritik bantuan untuk golongan B40 dan M40 pula menjadi bahan tumpuan warga maya.

Melalui ciapan dalam laman Twitter salah seorang ahli perniagaan kosmetik menyindir bantuan disalurkan kerajaan kepada golongan terlibat serta menyifatkan golongan ‘miskin’ akan menjadi kaya dan menghabiskan wang pemberian kerajaan untuk membeli iPhone 11.

Lebih ribut lagi selepas komen seorang ikon fesyen bersetuju dengan ciapan itu dan menyifatkan mereka dari golongan T20 turut terkesan dengan PKP kerana masih perlu membayar gaji pekerja.

Lantas laman-laman sosial dua ahli perniagaan yang juga insta famous itu mula diserang warga maya yang rata-rata mengutuk semula kritikan mereka.

Dalam keadaan tidak ada langsung khabar gembira dari seluruh dunia, hanya kisah sedih dan menyakitkan dikhabarkan dalam media sosial mahupun media arus perdana, saat dunia berdepan wabak pendamik ini , marilah kita bersama-sama muhasabah diri.

Usah bertikam lidah dan memburukkan lagi keadaan. Rata-rata yang terlibat dalam situasi kutuk mengutuk ini adalah kaum Melayu dan Islam sendiri.

Inilah masa bumi untuk berehat dan kita merapatkan hubungan dengan keluarga dan masyarakat. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Pihak-pihak terlibat juga telah memohon maaf melalui laman sosial masing-masing.

Beberapa hari sahaja kita akan memasuki bulan Ramadhan, mari fokus laksanakan apa sahaja saranan kerajaan demi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Teruskan berdoa, berselawat, beramal jariah dan menyebarkan kebaikan. Semoga Covid-19 dapat dihapuskan jauh dari muka bumi dan kita semua dilindungi daripada musibah lain yang membinasakan.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here