SadaqahMarket fasa kedua bakal dilancarkan

0
178
Dua sukarelawan Program Zero Hunger menyerahkan barangan keperluan harian kepada seorang penerima di sekitar Puchong Perdana hari ini.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Malakat Mall akan melancarkan SadaqahMarket fasa kedua dalam masa terdekat bagi membantu lebih banyak keluarga B40 yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzli Hashim berkata, pelancaran SadaqahMarket fasa kedua itu akan memberi perhatian kepada keluarga B40 yang mempunyai bekalan makan terhad.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan dan memilih berdasarkan pendaftaran data yang diterima.

“Mungkin fasa kedua ini kita memasukkan sekali bantuan susu untuk anak-anak kecil. Ada juga mereka yang tidak bekerja mempunyai anak kecil memerlukan bekalan susu.

“Saya sendiri sedang membuat kira-kira untuk menempatkan sebahagian dana untuk derma kepada keluarga yang memerlukan.

“Oleh itu saya meminta kawan-kawan lain dan orang ramai apabila kita lancar fasa kedua, mohon sumbangkan sebanyak yang boleh kerana ini adalah waktu- waktu kritikal,” katanya melalui siaran langsung akaun Facebook miliknya hari ini.

Dua sukarelawan Program Zero Hunger memasukkan beras ke dalam kenderaan untuk diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Puchong hari ini.

Tambah Mohd. Fadzil, dengan sokongan semua pihak, program itu dapat menambah bilangan sumbangan untuk bantu keluarga B40 yang terjejas.

Jelasnya, program berkenaan telah dimulakan dan penghantaran barangan sudah bermula semalam dan bersambung hari ini.

“Namun begitu, permohonan terlalu banyak. Kita ada lebih 5,000 keluarga yang memohon mendapatkan bantuan makanan dan pastinya tidak mencukupi jumlah sumbangan RM100,000 yang diterima setakat ini.

“Seperti saya maklumkan, semua komuniti cuba menjalankan tanggung jawab untuk bantu tambah sumbangan di kawasan masing-masing.

“Kalau perlu nak gunakan platform boleh hubungi kami, kita cuba sediakan supaya maklumat penerima dan orang yang mahu menyumbang boleh melakukan dengan mudah,” ujarnya.

Beliau meminta mana-mana pihak yang ingin melakukan tanggungjawab sosial itu diminta tidak menggunakan akaun bank persendirian kerana kurang sesuai dan sukar untuk dijejaki amaun yang diterima.

MOHD. FADZIL HASHIM

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil turut memaklumkan Malakat Mall mengalami masalah bekalan berikutan terdapat kilang tidak beroperasi seperti biasa dan pembekalan tidak sempurna namun bekalan di Pasar Raya Raudhah Grocer masih tidak terputus.

Namun begitu, katanya, untuk mendapatkan bekalan dalam kuantiti yang banyak seperti penutup muka, cecair pencuci tangan agak sukar dan bekalan itu di Raudhah Grocer sudah kehabisan serta menunggu dari pihak pembekalan.

“Kami di Malakat Mall dan Raudhah Grocer akan cuba membantu menyediakan makanan tapi Malakat Delivery pagi tadi sudah ada 100 tempahan sehingga kami terpaksa hentikan buat masa ini.

“Kami akan susun semula dan Insya-Allah esok kita akan tambah ‘rider’ (penunggang motosikal) untuk bantu buat penghantaran bagi Malakat Delivary yang mana membuat tempahan dalam talian,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here