Sajak khas buat wira, wirawati barisan hadapan negara

0
7313

CYBERJAYA – Tersentuh hati dengan pengorbanan barisan hadapan dalam membendung wabak Covid-19, seorang guru sekolah menghasilkan sajak khas buat mereka.

Guru berkenaan, Teo Wei Sing berkata, dia terpanggil untuk menghasilkan saja itu sebagai tanda terima kasih dari hatinya kepada kesemua terlibat dalam proses memerangi wabak Covid-19.

Menurutnya, sajak itu ditujukan buat para petugas perubatan, polis, tentera, sukarelawan, wartawan dan lain.

Katanya, selain itu sajak berkenaan turut ditujukan kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membendung wabak berkenaan sebagai satu penghormatan serta mesej terima kasih kepada mereka.

“Saya mematuhi arahan dan perintah untuk duduk di rumah, namun aksara dan diksi daripada minda saya enggan duduk diam lalu menari-nari di atas papan kekunci komputer untuk mencipta bait-bait indah.

“Khas buat wira dan wirawati yang tidak didendang,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Berikut merupakan sajak yang dihasilkan guru berkenaan pukul 4.55 pagi, 20 Mac lalu.

Kepada Wira dan Wirawati Negara
Di kala merebaknya COVID-19
Menggemparkan gundah segenap manusiawi,
Mengganggu gugat rutin dan gerak-geri kita
Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan
Merubah setiap detak nafas masyarakat
Dengarlah kata PM kita
Duduklah diam-diam di rumah
Usahlah pergi ke mana-mana.

Kepada wira dan wirawati negara
Terima kasih
Terima kasih kerana bertarung dengan virus Corona yang celaka
Mengubati setiap nyawa yang tak ternilai harganya
Mengekalkan kebahagiaan keluarga
Memapankan kesejahteraan
Demi rakyat jelata.

Kepada wira dan wirawati negara
Engkaulah
Engkaulah penyambung nafas setiap insan
Untuk kekal bernyawa
Engkaulah denyut nadi rakyat Malaysia
Untuk kekal sejahtera
Rahmat bahagia.

Kepada wira dan wirawati negara
Dikaulah adiwira bangsa
Yang berwajah insaniah
Semoga keselamatan kalian diberkati Allah S.W.T
Semoga kesihatan kalian diberkati Allah Yang Maha Esa.

-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here