Sarawak lanjutkan cuti sekolah, keluar notis 14 hari

0
126

CYBERJAYA – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengumumkan beberapa langkah membendung Covid-19 termasuk melanjutkan cuti sekolah dan notis mandatori 14 hari kepada pengunjung ke negeri berkenaan.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri Sarawak telah memutuskan untuk mengambil beberapa langkah yang ketat di negeri berkenaan memandangkan jumlah kes positif Covid-19 meningkat daripada 20 semalam kepada 34 hari ini.

“Semua pelawat (asing dan domestik) yang masuk ke Sarawak dan pulang ke Sarawak, akan dikenakan notis 14 hari ‘Stay Home Notice (SHN)’. Ini termasuk penduduk Sarawak, pemegang pas jangka panjang dan jangka pendek dan akan dilaksanakan pada 18 Mac.

“Agensi-agensi yang berkaitan akan memantau pemegang notis melalui lawatan rawak, panggilan telefon dan aplikasi teknologi moden. Pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang dalam keadaan khas (tugas rasmi dan perniagaan).

“Semua sekolah juga dinasihatkan untuk melanjutkan cuti sekolah mereka untuk satu minggu lagi, sehingga 29 Mac depan. Semua tabika, taska dan Sekolah Tahfiz di Sarawak juga diarahkan ditutup selama dua minggu, berkuat kuasa esok, 17 Mac.

“Semua program rasmi kerajaan Sarawak yang melibatkan lebih daripada 50 orang akan dibatalkan atau ditangguhkan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

“Mana-mana fungsi awam, yang melibatkan lebih daripada 50 orang dinasihatkan supaya ditangguhkan atau dibatalkan sehingga notis selanjutnya. Semua kemudahan sukan awam termasuk kolam renang, stadium dan gimnasium juga ditutup mulai esok,” katanya.

Selain itu katanya, semua institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta juga akan menangguhkan semua sesi akademik mereka selama dua minggu berkuatkuasa esok dan orang ramai dinasihatkan menjaga kebersihan.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberi amaran terhadap pihak yang menyebarkan atau menyiarkan berita palsu atau maklumat yang tidak dapat disahkan dalam media sosial.

Beliau berkata, jawatankuasa pengurusan bencana negeri telah menasihatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita palsu atau tidak disahkan pada platform sosial atau media sosial.

“Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang didapati berkongsi berita palsu.

“Semua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, dan juga akan dikenakan denda selanjutnya RM1,000 untuk setiap hari di mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan, “katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here