Satu bas datang ke Malakat Mall

0
2145

RAUDHAH CITY – Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim terharu dengan sokongan orang ramai yang dianggap pejuang ‘Buy Muslim First’ (BMF) apabila pusat beli belah itu mendapat sambutan begitu luar biasa.

Menurut beliau, sejak dibuka semalam, orang ramai tidak putus-putus datang ke pusat beli belah pertama yang menghimpunkan produk keluaran usahawan Muslim.

Tambah beliau, kehadiran mereka bukan sahaja dari Lembah Klang tetapi ada yang datang dari utara, timur dan selatan tanah air ke Malakat Mall semata-matai memberi sokongan terhadap perjuangan Malakat Mall.

“Kedatangan pengunjung begitu luar biasa. Mereka datang bertali arus sehinggakan kami begitu terharu atas sambutan itu.

“Hari ini sejak pukul 8 pagi tadi Bunch-Oh sudah dipenuhi pelanggan dan apabila Pasar Raya Raudhah Grocer dibuka pukul 9 pagi orang ramai sudah mula serbu. 

“Apabila ditanya adakah kerana pemberian percuma 20 ekor ikan pelaling, mereka kata hanya mahu membeli keperluan harian di situ,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini. 

Menurutnya, langkah membuka Malakat Mall di sini membuktikan pusat beli belah itu menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan Muslim memasarkan produk mereka di situ.

Jelas beliau, ini bagi membuktikan kepada pihak luar bahawa komuniti Islam sentiasa menanti sebuah pusat beli belah yang mempunyai produk usahawan Muslim sendiri.

“Sebenarnya kita bukan nak buktikan kepada pihak lain tetapi kepada umat Islam kita sendiri yang sebenarnya model perniagaan yang ditawarkan itu boleh berjaya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, terdapat satu rombongan bas dari Perak datang ke sini untuk membeli belah selain menyokong pembukaan Malakat Mall.

“Ada juga dari Kluang, Johor datang ke Malakat Mall semata-mata mahu menzahirkan sokongan. Terdapat juga warga emas dari Kedah yang ditemui meminta sekurang-kurangnya membuka Raudhah Grocer walaupun tidak mampu buka pusat beli belah itu di tempat mereka,” ujarnya.

Jelas Mohd. Fadzil, sambutan luar biasa itu bagi membuktikan kepada usahawan lain yang masih berfikir untuk memasarkan atau membuka produk perniagaan mereka di situ.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malakat Mall adalah berbeza dengan pusat beli belah lain kerana dibangunkan melalui model perniagaan yang mengutamakan produk Muslim sendiri.

“Kita tidak sempat buat pemasaran. Kita buat gegantung tapi tidak sempat dapatkan lesen. Selain itu pemasaran digital juga tidak sempat dilakukan namun saya terharu pejuang-pejuang BMF ini datang dari segenap pelosok. 

“Saya yakin hati mereka digerakkan oleh Allah dan digerakkan juga semua warga maya yang memberi sokongan padu dalam perjuangan ini,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here