Saya bukan pengkhianat

0
177
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau merupakan seorang pengkhianat kepada perjuangan tetapi terpaksa bertindak menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, beliau turut menerima sokongan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengadakan satu pertemuan bersama dengan disaksikan oleh dua orang tokoh parti dengan syarat mendapat sokongan majoriti. 

“Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat. 

“Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut,” katanya ketika berucap secara langsung di televisyen hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berjanji untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. 

Sehubungan itu, katanya, sebagai permulaan anggota jemaah menteri akan dilantik dalam kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

“Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik. Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin juga berjanji untuk menjadi sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, elektrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga.

“Saya juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling diperlukan oleh saudara dan saudari ialah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan. Ini juga akan menjadi keutamaan saya,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga berjanji untuk menyediakan sistem pendidikan berkualiti dan setanding dengan negara maju kepada semua anak-anak.

Selain itu, Muhyiddin juga menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here