
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan kerajaan negeri Perak akan dikekalkan di bawah pentadbiran Bersatu.
Ahmad Faizal, beliau juga telah mendapat sokongan yang mencukupi untuk kekal sebagai Menteri Besar Perak.
“Saya nak balik, nak mengadap Sultan Perak,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi kediaman peribadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Faizal menjawab pertanyaan media mengenai kedudukan kerajaan negeri pimpinannya setelah kerajaan pusat yang baharu dibentuk di bawah gabungan baharu hari ini.
Bagaimanapun katanya, sebarang kerjasama akan dibawa ke meja rundingan antara Bersatu, Pas dan UMNO.
“Saya akan bincang (bentuk kerajaan baharu dengan Pas, UMNO dan Bersatu), saya akan umumkan. Doakanlah saya kekal,” katanya lagi.
Selasa lalu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri Perak masih berfungsi seperti biasa dan beliau masih menjalankan tugasnya di sebalik perkembangan politik negara pada masa ini-MT