RAMLAH ADAM
Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM
KUALA LUMPUR – Pakar Sejarah, Prof Datuk Ramlah Adam kini sedang meneliti buku teks Sejarah Tingkatan 4 atas permintaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa penelitian itu dibuat adalah dari sudut akademik tanpa melibatkan unsur-unsur politik.
“Maknanya kita baca dan lihat mana yang boleh kita baiki dan mana yang ada fakta bertentangan. Atau sejarah yang betul-betul berlaku, macam mana pula tulisan ini dilonggarkan itu sahaja, saya bukan org politik.
“Ada NGO ini minta saya tengok, jadi saya tengoklah dari segi akademik dan tidak bersifat politik tapi dari segi fakta sejarah benda itu ada tapi cuba dinafikan, jadi itulah tugas saya.
“Bagi saya sesiapapun sebagai rakyat Malaysia boleh mengkaji apa yang mereka mahu terutama pakar sejarah seperti saya,” katanya kepada MBNews hari ini.
Sebelum ini tular sekeping foto memaparkan tangkapan layar yang memaparkan bahawa Ramlah kini sedang meneliti buku Sejarah Tingakatan 4 yang didakwa diselewengkan oleh sebuah parti politik.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, terdapat beberapa bab di dalam buku teks itu kini sedang diteliti dan satu seminar akan dianjurkan bagi membentangkan pendapatan hasil kajiannya itu.
“Ada beberapa bab yang boleh kita lihat yang ada usaha kurangkan peranan orang-orang dahulu dalam menentukan hala tuju politik negara kita terutama peranan Umno dalam menentang Malayan Union.
Mereka bukan kurangkan tapi seolah-olah memperkecilkannya.
“Sebagai ahli akademik, saya menulis dari segi akademik dan fakta sejarah dan saya tidak salahkan sesiapa, saya kaji buku teks ini sebagai satu kebetulan di mana saya ada pengalaman dengan buku teks, salah seorang profesor di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pakar sejarah, beliau bertanggungjawab untuk meneliti semula buku teks tersebut.
“Saya janji, selepas mengkaji sebaik mungkin satu seminar akan dilakukan, bagi saya baguslah kalau masyarakat tahu apa yang akan dibincangkan.
“Ini berkait dengan Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebab itu saya sebagai profesor perlu bertanggungjawab tapi pada masa sama tidak menunding jari kepada mana-mana pihak,” katanya.- MBNews