Segerakan lantikan barisan Kabinet

0
57

APA Khabar Orang Kita…’Suhu’ politik politik negara semakin reda selepas pelantikan Perdana Menteri Baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam menyelesaikan kemelut politik negara, Yang di-Pertuan Agong dilihat amat berhati-hati dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung krisis politik yang sedang melanda negara ini, umpama ‘menarik rambut dalam tepung.

Baginda begitu teliti dan melakukan segala usaha untuk mencari penyelesaian bagi kemelut itu berpandukan kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk Muhyiddin, selamat menjalankan tugas mengetuai pentadbiran kerajaan. Sebenarnya, cabaran bagi Ahli Parlimen Pagoh itu baharu sahaja bermula dan beliau perlu membentuk barisan Kabinet yang berwibawa untuk membangunkan negara.

Pelantikan barisan Kabinet dilihat perlu disegerakan kerana di saat dan ketika ini beberapa sektor seperti ekonomi, pendidikan dan paling utama kesihatan memerlukan teraju baharu bagi mendepani krisis dunia iaitu wabak Covid-19.

Bukan berniat mahu menunjukkan jalan kepada Perdana Menteri tetapi, itu adalah keperluan yang agak mendesak dan sekiranya barisan Kabinet dapat dipenuhi mungkin tugas Muhyiddin dilihat kurang terbeban kerana kini semua masalah di bahunya.

Betul seperti yang dikehendaki umum dan Muyiddin sendiri, barisan kabinet baharu perlu terdiri daripada kalangan pemimpin-pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber kerana asas berkenaan akan menjamin kestabilan negara.

Jika difikirkan, buat apa pilih pemimpin yang tidak berkaliber kerana tindakan itu hanya merugikan negara dan rakyat sahaja. Cukuplah perkara yang lepas jadi kenangan, jangan diulangi lagi dan jadikan pengajaran.

Kita tidak mahu negara kita ini dikenali oleh dunia kerana kenyataan dan tindakan yang kurang bijak daripada pemimpin-pemimpin. Potfolio penting perlu dipertimbangkan kepada pemimpin yang betul-betul berkaliber dan berpengtahuan.

Berdasarkan senario semasa, hakikatnya Muhyiddin dilihat sedikit sukar untuk membentuk barisan Kabinet berkaliber dan beliau juga berdepan cabaran untuk agihan lebih adil dalam gabungan Perikatan Nasional.

Setiap parti dalam gabungan itu pastinya akan menamakan calon menteri masing-masing, termasuk menamakan pemimpin utama parti, tetapi Perdana Menteri perlu mengambil kira reputasi setiap individu yang dicalonkan itu.

Jika tersilap langkah, Muhyiddin seakan-akan memberi ‘peluru percuma’ kepada ‘lawan’ yang kini hanya menunggu peluang untuk mengkritik segala percaturan terutamanya dalam urusan pembentukan barisan Kabinet.

Bagi membentuk barisan Kabinet yang mantap, Perdana Menteri juga tidak terhad memilih mereka yang terdiri daripada parti politik sahaja kerana golongan profesional dan teknorat harus diberi peluang.

Usaha itu diyakini dapat meningkatkan imej kerajaan pada mata rakyat. Golongan berkenaan yang tidak mempunyai ikatan secara langsung dengan parti politik boleh dilantik sebagai senator, sebelum diangkat menjadi menteri.

Kalau kerajaan ini benar-benar serius memulihkan keyakinan orang ramai, maka pelantikan golongan ini boleh diguna sebagai langkah pentadbiran kerajaan kepada bukan ahli politik semata-mata tetapi golongan profesional dan teknorat.

Umum tahu negara kita mempunyai ramai golongan profesional dan teknorat yang mampu menggalas tangungjawab sekiranya diberikan peluang seperti kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Jadi kita perlu cuba.

Bagaimanapun, susulan pengumuman pindaan tarikh persidangan Dewan Rakyat yang ditunda kepada 18 Mei ini, ia memberikan lebih ruang kepada Perdana Menteri membuat keputusan memilih barisan menteri yang mantap untuk ungguli pentadbiran negara-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here