Sejarah buat Pas, tiga Menteri dan lima timbalan

0
249

CYBERJAYA- Tiga pemimpin Pas diangkat sebagai Menteri penuh dalam Kabinet baharu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang diumumkan hari ini.

Sementara itu, lima lagi wakil parti berkenaan turut dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam pengumuman yang dibuat Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, tiada wakil Pas dilantik sebagai menteri kanan iaitu jawatan baharu yang diwujudkan buat kali pertama untuk membantu Perdana Menteri.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai barisan Ahli Parlimen parti itu dalam Jemaah Menteri sebagai Menteri Alam Sekitar.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal parlimen dan undang-undang.

Seorang lagi wakil ialah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Lima wakil Pas yang dilantik sebagai Timbalan Menteri ialah Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga); Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Selain itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here