Sekatan jalan raya di plaza tol ditingkatkan

0
240
Sekatan jalan raya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

PUTRAJAYA – Jumlah sekatan jalan raya di plaza-plaza tol seluruh negara akan ditingkatkan kepada 114 apabila fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekatan jalan di plaza-plaza tol sebelum ini adalah 23 sebelum dinaikkan kepada 65 semalam.

Menurut beliau, sehingga semalam, sejumlah 67,774 anggota penguatkuasaan telah ditugaskan untuk memastikan arahan PKP dipatuhi.

“Ia merangkumi anggota tentera, polis, Rela dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kita mempunyai simpanan yang ramai dan jika keadaan memerlukan anggota-anggota terlibat dalam penguatkuasaan ini akan ditambah,” katanya dalam Sidang Akhbar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan sejumlah 828 individu telah ditahan oleh pihak polis sama ada semasa sekatan jalan raya mahupun rondaan kerana melanggar PKP.

Katanya, matlamat kerajaan bukanlah untuk melihat semakin ramai individu ditahan kerana melanggar perintah tersebut, sebaliknya mahu semua rakyat mematuhi PKP.

“Tangkapan semakin meningkat dan ini menunjukkan polis telah mula mengambil tindakan yang lebih tegas. Sasaran kita bukan hendak menambah tangkapan tetapi hendak mengurangkan tangkapan.

“Ini kerana semakin banyak tangkapan bermakna semakin ramai yang tidak patuh kepada arahan PKP,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here