Selepas petugas media, Agong kurnia makanan kepada petugas kesihatan

0
229

Oleh ZAMZURINA AHMAD

BANGGA rakyat Malaysia memiliki Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang sentiasa bersama merasai kesulitan segenap lapisan masyarakat dalam apa jua situasi melanda negara.

Jika sebelum ini ketika krisis politik negara dalam keadaan meruncing sehingga memerlukan kebijaksanaan baginda membuat keputusan, baginda sanggup mencemar duli mengurniakan makanan kepada petugas-petugas media yang membuat liputan di Istana Negara.

Kehadiran petugas media ketika itu bukanlah atas undangan namun tuntutan tugas mereka berada selama beberapa hari dalam keadaan panas terik.

Memahami peranan dan tugas mereka, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan keprihatinan melalui pengurniaan atau sumbangan makanan selama beberapa hari.

Tatkala satu dunia diancam kebimbangan berikutan penularan wabak Covid-19, baginda mengetepikan keselamatan diri mencemar duli meninjau dengan memandu sendiri kenderaan bersama paduka anakanda di sekitar ibu negara.

Al-Sultan Abdullah mahu melihat sendiri kepatuhan dalam kalangan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan bermula pada 18 Mac hingga 31 Mac ini.

Baginda turut meninjau sekatan jalan raya yang dilakukan pihak berkuasa di beberapa jalan utama di Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, baginda melalui Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini mengurniakan makanan untuk jamuan tengahari kepada semua petugas di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan di Sungai Buloh, semalam.

Doktor dan petugas seramai 200 orang itu yang bertugas tanpa mengira masa dan dilihat cukup terharu apabila pengorbanan mereka tatkala wabak berkenaan melanda negara mendapat keprihatinan baginda.

Azuan Effendy melalui hantarannya dalam akaun laman sosial Facebook miliknya menzahirkan rasa hormat dan kagum dengan wira serta wirawati yang banyak berkorban demi memastikan pesakit positif Covid-19 dikenal pasti dengan segera bagi tujuan pemulihan dan kuarantin.

“Saya begitu kagum apabila mendengar taklimat daripada Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Dr. Hani Mat Hussin yang menyatakan bahawa seluruh petugas begitu komited bekerja siang malam bagi memastikan semua sample swab dijalankan ujian dengan segera.

“Mereka adalah wira-wira yang tidak didendang, mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat Malaysia walaupun kebajikan mereka sendiri kadang kala diletakkan di belakang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here